Alhamdulillah, pada tanggal 27hb April 2020 bersamaan 4 Ramadhan 1441H (jam 3.23 petang) telah dianugerahkan putera pertama kami dengan berat 3.31kg & ketinggian 51cm. Kebetulan pula, tarikh kelahiran anak pertama kami ini, sehari sebelum ulang tahun kelahiran isteriku. Alhamdulillah, 2x sambutan ulang tahun kelahiran.
Gambar putera kami sehari selepas kelahiran. Hanya dapat bertemu 10+ minit sahaja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP-Covid19).
Kepada anakku: Ahmad Fitri
Putera pertama kami ini, kami namakan dengan nama Ahmad Fitri. Sempena nama kami sebagai suami isteri (A & F). Iaitu A berasal daripada nama isteriku Atikah dan F dari namaku Fedli. Secara ringkas, Ahmad bermaksud terpuji, manakala Fitri bermaksud semulajadi (fitrah). Maka, besar harapan kami agar anak kami yang bernama Ahmad Fitri ini menjadi hamba Allah yang soleh, mempunyai akhlak mulia dan juga bijaksana dalam bicara.
1. Harapan & Nasihat Ibu,
Untukmu anak, semasa engkau masih di dalam kandungan, sering ibu bacakan untukmu Al-Quran. Semoga usaha pertama ibumu ini menjadi asbab dan membuka hatimu tertarik untuk menjadi Hafiz al-Quran. Juga, ayahmu tidak putus-putus membacakan kepadamu surah ringkas seperti Al Fatihah, Selawat Nabi, La ilaha illallah dan doa, setiap hari sebelum tidur sejak usiamu dalam kandungan 4 bulan.
Semestinya besar harapan ibu agar Ahmad Fitri menjadi anak yang soleh + hafiz al-Quran, memiliki suara mengaji yang sedap, pandai bercakap dihadapan orang ramai dengan berhikmah dan dapat menjadi contoh yang baik untuk adik-adik akan datang. Diharap juga, ikutilah perangai ayah yang elok seperti pandai membantu ibu di dapur, bertanggungjawab, berdikari, penyabar dan menghormati wanita.
Gambar Ahmad Fitri semasa umur sebulan. Selalunya, pukul 4 - 5 pagi beliau sudah bangun daripada tidur. Semoga menjadi kebiasaan takkala dewasa melakukan tahajud.
2. Harapan & Nasihat Ayah,
Tidak banyak ingin ayah katakan. Kebanyakan harapan mahupun nasihat, telah ibumu katakan (samaada dalam tulisan ini mahupun dalam kehidupan harianmu nanti). Namun, ayah berharap wahai anakku Ahmad Fitri, ambillah apa yang baik daripada kami sebagai contoh ikutan, dan apa yang kurang baik sebagai sempadan kehidupan. Ketahuilah, orang yang bijak adalah orang yang belajar daripada kesilapan dirinya. Manakala, orang yang bijaksana adalah mereka yang belajar daripada kesilapan dirinya dan orang lain. Maka, jadilah orang yang bijaksana.
Disini ibu dan ayah selitkan nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya di dalam surah Luqman. Bacalah wahai anakku, semoga dipermudahkan engkau memahaminya.
Penutup
Semestinya kami sebagai ibubapa mengharapkan yang terbaik untukmu anakku. Ketahuilah, kami sentiasa berdoa yang terbaik untukmu dalam diam mahupun terang. Maka, sentiasalah bersyukur dan sabar dalam kehidupanmu kerana banyaknya ujian dan kenikmatan. Ingatlah, usah engkau lupakan Tuhan dan ibubapamu takkala susah mahupun senang. Dan, berbuat baktilah kepada dunia untuk amalanmu di syurga.
Sekiranya ada masa, renungkanlah tulisan dan kata-kata ibu dan ayahmu ini. Walaupun ianya ringkas, mungkin ianya berguna untukmu suatu hari nanti. Ayah juga ada menulis serba sedikit catatan pengalaman diri, kata-kata hikmah dan bagaimana ayahmu memikat ibumu. Apa yang baik, engkau ambillah. Apa yang kurang baik, jadikanlah sempadan.
Ya, antara sebab ayah kumpulkan kata-kata ini, untuk kamu wahai anak-anakku. Sekiranya ada waktu, ayah akan ceritakan kisah-kisah Nabi padamu. Dan, apa yang kita boleh pelajari daripadanya. Contohnya, kisah dakwah Nabi Nuh as dan Nabi Muhammad saw. Kenapa pengikut Nabi Nuh jumlahnya sedikit padahal beliau telah berdakwah 950 tahun? Manakala, Nabi Muhammad saw berdakwah hanya 23 tahun, tapi pengikutnya banyak sekali. Apakah pengajarannya?
Maka, sekiranya engkau sudah tahu jawapannya, sesungguhnya engkau anak yang BIJAKSANA.
Ya, antara sebab ayah kumpulkan kata-kata ini, untuk kamu wahai anak-anakku. Sekiranya ada waktu, ayah akan ceritakan kisah-kisah Nabi padamu. Dan, apa yang kita boleh pelajari daripadanya. Contohnya, kisah dakwah Nabi Nuh as dan Nabi Muhammad saw. Kenapa pengikut Nabi Nuh jumlahnya sedikit padahal beliau telah berdakwah 950 tahun? Manakala, Nabi Muhammad saw berdakwah hanya 23 tahun, tapi pengikutnya banyak sekali. Apakah pengajarannya?
Maka, sekiranya engkau sudah tahu jawapannya, sesungguhnya engkau anak yang BIJAKSANA.
Nota: Entry ini ditulis sebagai renungan buat kami sebagai suami isteri. Juga, kepada Ahmad Fitri takkala beliau sudah besar nanti.
Yang Benar,
Ibu & Ayahmu (AF)
"Manusia itu didefinasikan kepada 3: Ada otak & berfikir, ada hati & merasa, ada anggota & bekerja".
No comments:
Post a Comment