Kenapa majoriti lelaki lebih suka berpolitik (pemimpin), berbanding orang perempuan lebih kepada isu rumahtangga (suami)?
Bila dah semakin bertambah usia, ada beberapa kemungkinan bermain di minda. Pertama, kerana tafsiran Pemimpin itu sendiri, yang berbeza bagi orang lelaki dengan perempuan. Ringkasnya, tafsiran pemimpin bagi:
Lelaki = Orang politik
Perempuan = Suami
By the way, ada satu ciri persamaan penting antara orang politik & suami. Iaitu, pemimpin ini dipilih. Sebab itu, jarang anak-anak salahkan ayah/ parent sendiri. Dan jarang (atau tiada) rakyat kritik Sultan/ Agong. Sebab, kita tiada kuasa untuk memilih mereka. Namun, jika mahu kritik, bersedialah untuk dianggap derhaka dan melawan cakap orang tua.
Dari ciri pemimpin ini dipilih, lahirnya point kedua. Iaitu, ini merupakan antara cara seseorang untuk menyelamatkan diri dengan menyalahkan orang lain. Bila salah, perempuan mudah salahkan lelaki (suami). Manakala, orang lelaki pula mudah salahkan orang politik (pemimpin) apabila berlaku sesuatu yang tidak disukai.
Semasa aku terlibat dengan politik kampus, majoriti yang aktif adalah lelaki dan perempuan sukar dicari. Berbeza pula semasa program kursus kawen or ceramah cinta islamik yang dianjurkan oleh persatuan fakulti, perempuan itu majoriti, lelaki tu rare sekali.
Ya, memang ada sebahagian kesalahan adalah salah pemimpin itu sendiri. Namun bukanlah semuanya. Meletakkan 100% kesalahan kepada pemimpin itu, amatlah naif sekali. Kesian pemimpin, sering dijadikan 'kambing hitam'.
Pemimpin lahir daripada Rakyat
Dulu-dulu, sering kedengaran pepatah ini. Rakyat mahukan pemimpin yang amanah, tapi ramai (rakyat) tidak bersifat amanah. Rakyat mahu sumber ekonomi diurus sebaiknya, tapi rakyat juga yang suka rosakkan harta benda. Rakyat mahu pemimpin yang cerdik pandai, tapi rakyat pun malas nak membaca. Maka, bagaimana kita mahu mendapatkan pemimpin yang hebat & terbaik?
Padaku, konsep pemimpin lahir daripada rakyat bersifat 2 hala. Pemimpin ada peranan dan rakyat juga ada peranannya. Masing-masing ada tanggungjawab yang perlu dilakukan. Begitu juga suami isteri. Tugas suami bukannya sekadar mencari nafkah. Dan, tugas isteri bukanlah sekadar melayan suami. Ada perkara dalam Agama, sesuatu itu disebut dengan jelas. Contohnya, ustazku pernah menyebut. Ada beberapa perkara di dalam Al-Quran, Allah swt sebut dengan detail & jelas. Seperti bab Faraid & hudud. Ada pula perkara yang tidak diterangkan detail dalam Al-Quran, tetapi diterangkan detail oleh Nabi saw seperti cara mengerjakan Solat.
Perempuan marah bila sebut penghuni neraka ramai perempuan. Tapi bila lihat komen-komen orang perempuan di berita artis kahwin, poligami, cerai berai dan isu rumah tangga, seram betul. Terlalu beremosi. Begitu juga lelaki apabila bersembang politik, memang up-to-date dengan isu-isu politik semasa.
"Lelaki mengahwini perempuan dengan harapan dia tidak akan berubah.
Perempuan mengahwini lelaki dengan harapan dia akan berubah". [Albert Eistein].
SUAMI & ISTERI
Semenjak berumahtangga, banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum berbicara. Namun, tertarik untuk berkongsi pandangan peribadi mengenai beberapa perkara.
1. Isteri pengurus kewangan keluarga terbaik?
Untuk permulaan, aku tak berapa setuju dengan statement ini. Jika dilihat cara membeli orang lelaki dengan perempuan, ianya seperti menidakkan. Namun, ada sesuatu perkara yang apabila dimasukkan dalam penilaian, aku bersetuju dengan statement bahawa isteri pengurus kewangan keluarga terbaik.
Ayuh kita ingat kembali mengenai masalah ekonomi iaitu "sumber (pendapatan) yang terhad untuk memenuhi kehendak (nafsu) yang tidak terhad".
Rumusnya, sumber (pendapatan) yang terhad boleh difahami sebagai pendapatan suami daripada pekerjaan. Jika gajinya hanya RM 3,000 sebulan, maka itulah sumber pendapatan beliau setiap bulan. Manakala, kehendak (nafsu) yang tidak terhad ialah barang-barang keperluan & kehendak. Disini boleh kaitkan dengan kata-kata orang bahawa lelaki ada 9 akal & 1 nafsu. Manakala, perempuan ada 1 akal & 9 nafsu.
Jadi rumusnya, masalah ekonomi rumahtangga ialah sumber pendapatan suami yang terhad untuk memenuhi kehendak isteri yang tidak terhad.
Jap, macam mana nak menyelesaikan? Cara terbaik ialah kena ada peranan suami isteri. Suami kena sedar tugas beliau untuk mencari nafkah. Isteri pula kena ada kesedaran dalam mengurus perbelanjaan.
So, berbalik kepada ayat Isteri pengurus kewangan keluarga terbaik, aku bersetuju apabila adanya peranan ini. Dan, amat cantik apabila isteri yang urus kewangan keluarga. Dimana majoriti gaji suami diberikan kepada isteri untuk membayar semua perbelanjaan seperti rumah, anak-anak, barang keperluan & etc. Disini isteri akan memikir dahulu sebelum berbelanja sebab sumber pendapatan (wang diberikan suami) terhad. Contohnya, gaji suami RM 3,000, maka diberi kepada isteri sebanyak RM 2,400 (bersamaan 80% gaji suami). Balance RM 600, suaminya gunakan untuk minyak kenderaan, telefon & makan minum di tempat kerja.
Bagusnya teknik ini ialah memberi kesedaran kepada isteri & menyukarkan suami nak kawen lagi.
Sebab apa aku katakan kesedaran. Sebabnya, ada segelintir-sebanyak perempuan mahu suami beri segala-galanya kepada isteri. Malah, semua benda sepatutnya suami yang kena buat & sediakan. Dan ditambah dengan dosa isteri pun suami kena pikul. Pada aku, pandangan sebegini aneh. Kenapa? Sila baca pandangan mufti Wilayah mengenai suami menanggung dosa isteri disini.
Rumahtangga ialah LADANG pahala
Sejak setahun dua ini, banyak terlihat posting di media sosial mengenai tugas & tanggungjawab suami dan isteri. Dimana antara pointnya, semua tugas cari nafkah & kerja dirumah adalah tanggungjawab suami. Tugas isteri hanya layan suami sahaja.
Padaku, benda itu kurang betul. Matilah suami jika semua benda dia kena tanggung sendiri. Begitu juga sebaliknya jika isteri yang kena seorang. Maka, antara tip rumah tangga berkekalan ialah saling memberi, membantu, bertolak ansur, sabar & memaafkan.
Ketahuilah, pasangan kita memilih & bersama dengan kita, bukanlah kerana kita cantik atau hensem setiap masa. Sebaliknya, ada manfaat & kebaikan daripada kita. Senang cerita, ada function (fungsi). Suami ada function, isteri pun ada function.
Maka, bab kerja rumah aku prefer pandangan, ianya tugas bersama. Tapi, kalau jumpa orang lelaki cakap, semua ini tugas suami. Senang sahaja, time hari raya try pi rumah dia. Cuba tanya, air & makanan tu siapa yang buat? Kalau dia cakap isteri dia yang buat, memang orang tu aneh. Cakap lain, buat lain.
Isteri perlu dibayar upah sebab buat kerja di rumah & etc?
Kalau macam itu pengiraannya, suami pun kena bayar jugaklah.
Perasan tak sesuatu yang jarang disebut oleh orang masakini?
Iaitu, rumahtangga itu LADANG pahala. Entahlah, ramai orang lebih suka highlight WANG berbanding ladang PAHALA apabila berbicara soal rumahtangga. Macam something wrong, tapi nak masuk syurga.
Antara perkara yang sering dilupakan oleh masyarakat masakini ialah pasangan hidup kita (suami isteri) sebenarnya adalah ladang kita melakukan pahala. Dan, perlu kita mengubah kembali mindset hidup kita dalam rumahtangga. Jadikan rumahtangga ini sebagai tempat kita membuat pahala.
Ketahuilah, setiap kali suami mengeluarkan wang untuk menyara keluarga (makanan, pakaian, tempat tinggal & perbelanjaan lain, ketahuilah semua itu ada ganjaran pahala. Begitu juga apabila isteri membantu suami dalam urusan keluarga mahupun kewangan. Itu juga ada ganjaran pahalanya. Asalkan apa yang kita lakukan itu, kita lakukan dengan keikhlasan dan tidak merungut-rungut.
Sekiranya masing-masing suami isteri mempunyai mindset rumahtangga ialah ladang pahala, sudah tentu masing-masing berlumba memberi berbanding mempersoalkan tanggungjawab dan menyalahkan sesama sendiri.
Dua Kisah : Zaman Nabi saw & Sahabat
1. Saidatina Fatimah r.a mengadu kepada suaminya Saidina Ali r.a. keletihan kerana terlalu banyak kerja rumah yang perlu dilakukan. Kemudian, kedua-keduanya pergi untuk berjumpa Rasulullah s.a.w untuk meminta seorang pembantu. Tetapi tidak berjaya kerana baginda tiada di rumah.
Apabila Rasulullah s.a.w tiba di rumah, Saidatina Aisyah pun memberitahu Baginda tentang permintaan puterinya. Lalu Baginda telah pergi menemui puteri serta menantunya.
Mari kita lihat respon Rasulullah s.a.w.
Baginda bersabda: “Mahukah kamu berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta? Ketika kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akhbar) 33 kali, tasbih (Subhanallah) 33 kali dan tahmid (Alhamdulillah) 33 kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.” (HR. Muslim, no: 4906)
Jadi, kepada ibu-ibu yang kepenatan bolehlah amalkan ajaran Rasulullah s.a.w ini untuk membaca Zikir dan Tasbih Fatimah sambil berbaring atau menyusukan bayi. Selain beroleh ketenangan anda juga dapat pahala.
Dalam pada itu, sentiasalah menanamkan dalam hati supaya ikhlas dan reda melakukan segala tanggungjawab sebagai isteri dan ibu supaya tidak terasa satu bebanan yang memenatkan. Semoga dikurniakan ganjaran pahala daripada Allah SWT.
2. Kisah semasa Aqil r.a ingin meminta nasihat mengenai isterinya. Namun, ternyata semasa sampai, terlihat Saidina Umar pun kena 'berleter' dengan isterinya.
Jika kita, sudah tentu berasa pelik. Namun Saidina Umar menasihatkan Aqil berkenaan kedudukan isteri dengan banyaknya tugas isteri di rumah seperti mengasuh, memasak dan seumpamanya. Maka, bersabarlah.
“Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri).”
Dari dua kisah ini, dapatlah kita fahami beberapa perkara. Nabi saw memahami keadaan ekonomi menantunya, maka diberikan jawapan yang lebih menenangkan. Dan, kisah Saidina Umar pula, walaupun kena 'berleter', namun tetap sabar. Kerana apa? Kerana melihat kebaikan-kebaikan lain yang sangat banyak daripada pasangannya.
PENUTUP
Ketahuilah tiada keluarga yang 100% sempurna. Sudah tentu setiap keluarga itu ada kelebihan dan kekurangannya. Begitu juga pasangan hidup, tidak sempurna suami isteri kita. Maka, kehidupan berkeluarga ini seharusnya saling melengkapi, bertolak ansur dan menyayangi. Perlu kita tanamkan dalam hati, berkeluarga ini adalah antara ladang pahala kita.
Oh ya, perempuan ada satu perangai pelik. Iaitu, perempuan suka ada 'kawan bergaduh'. Mereka suka hidup turun naik dan ada rasa masam-masam manis. barulah best. Dan, satu-satunya orang yang akan dijadikan 'kawan bergaduh' ialah suaminya. Sebab kalau bergaduh pun, selalunya akan berbaik-semula. So, kepada para suami, hadap jelah. Sabar...
Akhir kata, tip dalam rumah tangga yang sering dikongsi oleh kebanyakkan orang ialah SABAR. Ketahuilah, Sabar itu adalah ibadat. Dalam Al-Quran terdapat 90 kali ianya disebut. Sehingga nabi saw bersabda menikah adalah sebahagian daripada sunnah. Begitu besar sekali. Dan, antara banyak tempat kita perlu bersabar ialah dalam rumahtangga.
Rasulullah s.a.w. bersabda : “Menikah adalah sebahagian daripada sunnahku, barang siapa tidak mengamalkan sunnahku, maka ia bukan termasuk golonganku, maka bernikahlah….”
Kedua, antara tip yang sering dilupakan ialah berkeluarga ini adalah antara ladang pahala kita. Berkahwin ini bukan untuk kita jadikan pasangan seperti maid ataupun jadi pemalas tanpa buat apa-apa kerja, sebaliknya ianya ladang yang perlu kita usaha bersama-sama untuk memperbanyakkan pahala. Sehinggakan disebut dalam hadis nabi saw mengenai amalan yang tidak terputus selepas kita mati antaranya doa anak soleh.
Dari Abi Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.
Maka, bersabarlah dan maafkanlah sekiranya pasangan ada membuat kesalahan. Ingat, visi & misi utama kita sebagai hamba Allah swt. Disamping jadikanlah rumahtangga ini ladang pahala. Jika ada kerosakan di ladang, cepat-cepatlah kita buang & perbaiki. Moga-moga hasil ladang kita semuanya adalah pahala.
Sering juga ingatkan diri, takkanlah kita sanggup melihat anak bini/pasangan di neraka disebabkan sedikit kesalahan yang kita tidak maafkan. Kasihanilah keluarga kita sendiri.
Note : Pandangan diatas selepas dirujuk daripada beberapa sumber seperti website Mufti Wilayah.
Sekian,
Fedli Isa (Slumb)
"Bulan dilihat dari jauh kelihatan cantik. Namun, takkala didekati tampak kelompongan".