Note: Kepada rakan-rakan yang sudah atau bakal berkahwin, tahniah diucapkan. Semoga penulisan ini, ada manfaat buat kalian. Didoakan semoga rumah tangga yang dibina sentiasa dalam keredhaan, rahmat dan kasih sayangNya. Amin...
Mukadimah
Perkongsian kali ini, hasil 'kamilan' daripada bacaan beberapa buah buku mengenai perbezaan lelaki dan perempuan dan pandangan peribadi. Manakala, tajuk entry diinspirasikan daripada judul buku Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin dibawah ini.
Sebagai ingatan, penulisan ini bukanlah untuk membanding lelaki dengan perempuan. Jauh sekali meninggikan satu dengan yang lain. Sebaliknya, untuk mencari titik berkasih sayang dan persamaan. Agar rumahtangga yang dibina berkekalan sehingga ke syurga dan memperoleh redha-Nya.
3 Golden Rules Suami Isteri.
Untuk membina keluarga yang bahagia dan saling melengkapi, amatlah perlu kita memahami & memainkan peranan. Maka, entry ini menerangkan konsep 3 Golden Rules Suami Isteri, berserta "persamaan".
Secara umum, "What you give, you will get back. Sepertimana dalam Al Quran, Allah swt berfirman:
“Jika kamu berbuat kebaikan (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk dirimu sendiri; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kpd diri kamu juga,…” (Q.S: al-Isra’: 7).
Pertama: Hukum Matematik -> "Memberi (x) = Menjaga (y)"
Dalam rumah tangga, kita perlu belajar memberi dan menjaga. Apa yang diberikan oleh pasangan sewajarnya dijaga dan dihargai, walaupun sekecil mana ia.
Sepertimana yang sudah maklum, antara tanggungjawab suami ialah "memberi" (nafkah tempat tinggal, makanan & pakaian). Manakala, isteri berperanan "menjaga" nafkah tersebut (menjaga kediaman, menjaga makanan & pakaian keluarga). Maka, begitulah formula matematik dalam rumahtangga.
Memberi Nafkah (Mr x) = Menjaga Nafkah (Mrs Y)
Namun, berdasarkan keadaan ekonomi hari ini, kebanyakkan isteri terpaksa keluar bekerja untuk membantu menyara keluarga. Maka, ini menyebabkan berlakunya perubahan kepada formula, menjadi tidak seimbang seperti ini ;
Memberi Nafkah (Mr x + Mr Y) = Menjaga Nafkah (Mrs Y).
Merujuk, x + y = y?
x = 2y (Persamaan matematik tak 'seimbang'. Boleh menjejaskan emosi Mrs Y).
Maka, si suami perlu melakukan sesuatu agar konsep matematik ini menjadi seimbang kembali. Antara caranya ialah, si suami perlu membantu isteri di rumah. Seperti membantu isteri di dapur, cuci pinggan, bantu memasak, mengemas & sebagainya. InsyaAllah, persamaan matematik akan seimbang.
Memberi Nafkah (Mr x + Mrs Y) = Menjaga Nafkah (Mrs Y + Mr x)
Merujuk, x + y = y + x.
Jadi, apabila diringkaskan ianya akan menjadi : xy = xy . (Yeahh... Seimbang).😊
Adakah isteri mengambil alih tugas suami?
Tidaklah bermaksud, si isteri mengambil alih tangungjawab suami dalam 'memberi'. Tidak juga bermakna, si suami mengambil alih peranan 'menjaga' daripada isteri. Sebaliknya, ianya sebagai timbang balas antara pasangan dalam kehidupan. Agar persamaan "Memberi = Menjaga" itu seimbang.
Bacaan lebih lanjut, boleh rujuk pandangan Dr Khalif Muammar di page FB beliau.
Kedua: Hukum Kebiasaan -> "Berhias & Sentuhan"
Kebanyakkan buku mengatakan, perempuan suka apabila dirinya disentuhi oleh suami. Namun, bagaimana caranya untuk menarik suami agar selalu menyentuhi isteri?
Konsepnya mudah sahaja. Iaitu, berhiaslah untuk suami anda. Namun apa yang berlaku hari ini, terbalik pula. Para isteri lebih suka berhias apabila mahu keluar rumah, berbanding semasa bersama suami mereka. Ketahuilah, bayi kecil itu lebih selalu disentuh orang, selepas dimandikan dan berbau wangi.
Ketiga: Mengurangkan tekanan (suami isteri)
Kesibukkan dan masalah dalam kehidupan harian mampu menyebabkan seseorang itu tertekan. Bagi isteri, antara cara mengurangkan tekanan ialah dengan meluahkan perasaan (bercakap). Perasan tak, masalah perempuan sentiasa ada. Persoalannya, banyak sangat kew masalah orang perempuan ni?
Sebenarnya, tidaklah banyak. Cuma, orang perempuan lebih suka berkongsi dan tidak gemar menyelesaikan. Sebab itu, mereka sentiasa ada topik untuk bersembang. Sehingga, diwujudkan rancangan TV Wanita Hari Ini.
Maka, kepada suami. Luangkan masa bersama isteri dalam rancangan Isteriku Hari Ini. Belajarlah mendengar rintihan mereka. Ya, ianya memenatkan telinga dan perkara 'leceh' buat suami, tetapi teramatlah penting bagi isteri. Maka, fahamilah.
Manakala, cara suami mengurangkan tekanan pula ialah dengan hubungan intim. Ya, bunyinya agak lucah. Tapi itulah hakikatnya bagi suami (lelaki). Jika tidak percaya, cubalah baca buku mengenainya. Sebab itu orang tua-tua kata; "Selepas kawen, harap-harap kuranglah sikit barannya".
Bonus: Lelaki mempunyai "Standard"
Ketahuilah, cinta itu tidak mencukupi. Ada pasangan yang bercinta sejak di universiti, tetapi masih belum berkahwin lagi. Persoalannya, adakah percintaan sejak di universiti itu cinta hakiki? Atau, kekurangan sesuatu iaitu "standard" bagi lelaki.
"Standard" merujuk kepada sesuatu perkara yang perlu ada. Untuk entry ini, aku kongsikan 2 sahaja. Sekiranya seorang lelaki mencintai anda dan mempunyai "standard" yang pertama ini, ianya sudah mencukupi untuk menunjukkan beliau serius mendirikan rumah tangga.
'Standard' pertama ialah "mampukah beliau menyara anda?" (hidup berdikari)
Seperti yang diketahui. Tanggungjawab suami adalah memberi nafkah kepada isteri. Belum lagi berbicara mengenai tingginya wang hantaran. Sehingga menyebabkan kebanyakkan lelaki berfikir panjang sebelum menghantar rombongan. Ya, ianya soal kemampuan.
Disebabkan belum mencapai kemampuan, "cinta monyet" menjadi pilihan. Bercinta suka-suka untuk pengalaman. Hal ini bukanlah perkara baru, malah ianya dianggap dilema bagi para remaja yang meningkat dewasa. Dalam mencari Mr Romeo & Mrs Juliet pilihan hati mereka.
Maka, bermulalah proses perkenalan di peringkat Sekolah dan IPT. Disebabkan perasaan 'takut' melepas, maka "dicop" orang tersebut. Dengan harapan, tiada orang berani mencuri hatinya, yang belum dinikahnya lagi.
Namun persoalannya, berapa lamakah percintaan tanpa ikatan mampu bertahan? Menunggu sehingga bergraduasi dan mampu menyara diri? Maka sekiranya itulah jawapan, adalah lebih baik tangguhkan dulu percintaan. Janganlah memberi perasaan dan harapan yang tidak jelas kesudahan.
Manakala, 'standard' kedua pula ialah perancangan & keserasian. Seperti yang diberitahu, sekiranya seseorang itu menyukai anda dan mempunyai 'standard' yang pertama, ianya sudah mencukupi untuk anda berdua mendirikan rumahtangga. Namun, sekiranya ditambah dengan 'standard' kedua ini, maka ianya lebih baik. *Link video di facebook.
Maka, tanyalah perancangan pasangan anda. Kemudian, nilailah. Adakah perancangan anda selari atau anda berdua saling berbeza ideologi (pemikiran)? Adakah anda nampak diri anda dalam perancangannya? Siapa anda pada dirinya? Adakah sekadar isteri dan ibu kepada anak-anak? Atau lebih daripada itu. Maka, carilah persamaan, kelainan, keserasian dan perbezaan. Dalam membangunkan diri menjadi orang lebih yang berjaya.
Penutup:
Tertarik dengan sebuah perbualan, antara seorang sahabat dengan anak seorang tok guru. Ditanya kepada anak tok guru tersebut; "Aku lihat tok guru merupakan orang alim dan baik. Tetapi, bagaimana hang dilahirkan?" (Logik akal. Takkan tok guru buat 'bende tu'.)
Jangan salah anggap. Nafsu itu tidak jahat. Cuma, yang salahnya ialah dimana nafsu itu digunakan.
Contohnya. Apakah perbezaan berzina dengan hubungan intim dengan isteri sendiri?
Ya, semuanya sama. Kecuali, satu perkara. Iaitu, akad nikah. Dengan akad nikah, hubungan intim dengan isteri menjadi 'halal'.
Sebagai penutup. Tahniah diucapkan kepada rakan-rakanku yang sudah & bakal mendirikan rumahtangga. Semoga rumahtangga yang dibina itu dikurniakan Sakinah, Mawaddah, Warahmah. Juga kepada yang masih bujang, semoga dipermudahkan urusan. Amin...
Note: Dilarang PM aku sekiranya mahu bertanya tip suami isteri atau mahu meluahkan perasaan. Sebaliknya, adalah lebih elok JIKA anda membaca buku yang banyak dipasaran. Kenapa kita suka bertanya kepada pihak ketiga mengenai perhubungan? Tidakkah itu membuka aib pasangan? Fikirkan...
Yang Benar,
Fedli Isa (Slumb)
#Yang masih bujang (setakat tahun 2018)
No comments:
Post a Comment