Sunday, December 30, 2018

Universiti Kehidupan (Tahun ke-3)

Aku merenung, tahun keseorangan. Banyak membandingkan diri dengan 'timeline' kawan. Ya, hidup bukanlah perlumbaan. Tetapi, pembesaran. Adakah tahun-tahun berlalu, kita bertambah usia atau meningkat 'dewasa'? 



Dalam keghairahan mencipta kata-kata baru (quotes), aku masih belum menemuinya walaupun 10 bulan telah berlalu. Mungkin aku terlalu ghairah mencari, sehingga terlupa apa yang perlu. Dek kerana ingin mencipta kata-kata baru, aku terlupa. Apakah yang dicari? Adakah serangkap kata atau sebuah kehidupan?

Apa-apa pun, sebagai ulang siar Quotes-ku yang lalu, dibawah rumusannya. Sebagai contoh, Quote ke-2 merupakan rumusan pengajianku semasa di universiti dalam bidang kewangan (Diploma Kewangan sehingga BBA Islamic Finance). Bak kata pepatah Albert Einstein: "If you can't explain it simply, you don't understand it well enough". 


Antara Quotes yang telah dihasilkan. My target, setiap tahun, satu quote (InsyAllah).


Perbandingan & Renungan... 

1. Apa yang kita belajar?

Tertarik dengan sebuah persoalan. Secara logik, semakin banyak pusat agama, masjid & para pendakwah di Malaysia, maka semakin baiklah masyarakat. Malangnya, perselisihan faham dan kekeliruan dalam masyarakat terus bercambah. Kenapa jadi begini? 


Masalah ini boleh dibahagikan kepada dua kategori. Iaitu, kerana kita mengambil sesuatu itu secara "terkurang" dan "terlebih". Terkurang seperti malas nak belajar. Terlebih pula, terlebih rajin mempelajari dan memperbahaskan semua perkara. Padahal diri hanyalah orang biasa.

Dengan kemudahan teknologi hari ini, masalah "terlebih" ini lebih mudah berlaku kepada penerima (penuntut/ pendengar/ pembaca). Sewajarnya, biarlah sesuatu isu itu diperbincangkan oleh ahlinya (bukannya ahli 'cop sendiri'). Cukuplah kita selaku orang awam, sekadar tahu secara umum, selagi ianya bukan fardhu keatas kita.


Begitu jugalah, mengenai segelintir penceramah. Semua perkara mahu diceramahkannya. Umpama tidak diberikan tajuk dan tidak mempunyai silibus pengajaran. Kejap masuk politik (parti A & B), kejap masuk ekonomi, teori konspirasi, illuminati dan sebagainya. Sehingga tidak faham dibuatnya. Apa pentingnya perkara tersebut disampaikan kepada orang awam? Adakah ianya menambah keimanan? Atau menambah kepeningan? 


2. EGO: Senior vs Junior

Ego itu wujud daripada pelbagai faktor. Seperti faktor ilmu (+ pengalaman), ibadah, nasab, keelokkan paras rupa, kekuatan, harta & pengikut. Dimana, faktor ilmu merupakan faktor yang sukar dirawat. Ini kerana, ilmu itu dianggap mulia. Kerana ianya menyuluh jalan kehidupan. Begitu juga soal pengalaman. Jauh perjalanan, luas pengalaman. Namun, setiap sesuatu itu boleh membawa kepada dua haluan. Samaada, ianya menambahkan keimanan atau menambahkan 'keakuan'.

Ya. Penjenayah kolar putih lebih licik dan power, berbanding penjenayah biasa. Sebabnya, penjenayah kolar putih dilakukan oleh orang-orang berilmu. Depa buat kerja jahat, tapi tak nampak 'jahat'. Hebat!



Sedar atau tidak, aku sedang berada dalam Zon Selesa. Takkala diri merasa serba tahu sehingga menambah 'keakuan' dijiwa (ego). Sehingga dirasakan sudah banyak makan "garam", menyebabkan diri sering merendahkan orang. Ya, inilah yang aku rasakan. Terasa kesombongan dan keegoan. Bak kata segelintir orang tua (growing old), takkala ingin menang; 'Aku makan garam lebih banyak dan awal daripada hang!'. 


Sewajarnya, kita mengikut resam padi. Semakin berisi, semakin tunduk. Dan, sebaiknya bandingkanlah kehidupan kita. Adakah TAHUN ini, lebih baik daripada tahun yang sebelumnya? 
“Sesungguhnya orang yang paling BERJAYA ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam. Dan, orang yang GAGAL adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam. Manakala orang yang TERPEDAYA adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam”.

"The only one who can beat me is me." - Michael Johnson


3. Perbandingan yang tidak sama taraf.


Tertarik dengan sebuah perbandingan dan persoalan. "Kenapa ibubapa boleh menjaga 10 orang anak. Tetapi, 10 orang anak belum tentu mampu menjaga kedua orang tuanya". 


Kadang-kala, aku tersenyum apabila ada orang berkata begitu. Kerana situasi ini juga berlaku pada dirinya sendiri. Memang kebiasaan kita melihat ibubapa menjaga anak-anaknya, tetapi belum tentu ibubapa tersebut mampu menjaga orang tuanya.

Antara sebab utamanya ialah, kerana kedua-duanya ada 'EGO'. Sebagai contoh, sekiranya bayi atau anak kecil menumpahkan makanan, memecahkan pinggan dan menyelerakkan barangan, kita sebagai ibubapa masih okay. Sebab mereka masih budak-budak. Tapi, sekiranya orang tua yang melakukan, apakah respon kita?


Nah, itu yang membezakan. Ibubapa menjaga anak untuk dibesarkan. Anak-anak menjaga ibubapanya sebelum 'meninggalkan' (meninggal dunia). Sebab itu orang kata, anak-anak tidak akan dapat membalas jasa kedua ibubapa. Sebab, amat jauh beza antara 'dibesarkan' dengan 'meninggalkan'.


Perumpamaan lain seperti guru dengan pelajar. Boleh bayangkan sekiranya pelajar yang diajarnya, dikemudian hari menjadi guru kepada gurunya. Mampukah gurunya menganggap diri sebagai pelajar? Ataupun, ingin kekal sebagai guru walaupun kini berstatus pelajar?...

Begitu jugalah mengenai ibubapa dengan anak-anak. Pada permulaan, ibubapa menjaga anak-anak. Kemudian, apabila ibubapa sudah tua, anak-anak pula menjaga mereka. Maka, disinilah berlaku 'conflict' dalam peranan antara penjaga dan yang dijaga. Ibubapa yang tua itu sebagai penjaga atau yang dijaga? (mostly, ibubapa masih terbawa-bawa peranan mereka sebagai 'penjaga').


Inilah antara sebabnya, atuk kelihatan begitu mesra bermain dan bergaul dengan cucunya. Tetapi, apabila atuk dengan anaknya sendiri, bersua muka dan sekadar berbual sepatah dua. Ketahuilah, magnet yang mempunyai kutub yang sama (kutub ego dan sama peranannya), akan saling menolak.



"Dunia Invisible" : Pengajaran Tahun Ini? 

Kisah mengenai "invisible" ini, telah direka semasa diriku di tingkatan 4. Dimana, ini merupakan tulisan pertamaku. Kisah rekaan ini amatlah pendek. Tetapi, mampu menganggu tidur malamku, dek kerana otak sering memikirkan. Dibawah merupakan nukilan:

Semasa di sekolah, aku bukanlah pelajar yang pandai sangat. Tetapi, sewaktu peperiksaan akhir tahun, aku tidak dapat menjawab soalan yang terakhir. Lalu, menulis;  
"Jawapan yang terakhir ini ditulis dalam bentuk "invisible". Hanya orang yang PRO sahaja dapat melihat".  
Selepas sebulan berlalu, aku bertanya kepada cikgu mengenai markahku. Jawabnya; "Markah kamu ditulis dalam bentuk invisible, hanya orang yang PRO sahaja dapat melihat". Aku tersentak!



Untuk pengajaran tahun ini, aku bahagikan kepada dua. Iaitu sudut yang dilihat oleh mata kasar dan sudut 'invisible'. Dari mata kasar, diriku seperti tidak belajar perkara baru. Diriku umpama tahun yang lalu, kecuali usia. Maka disebabkan itu, quote kali ini ditulis dalam bentuk 'halimunan', untuk menyembunyikan kelemahan.

Manakala, dari sudut 'invisible', quote ini ingin mengajarkanku mengenai tahap seseorang yang berilmu. Dengan nota kaki yang berbunyi;
"Pengajaran kali ini ditulis dalam bentuk 'Invisible' (kosong/ tiada apa-apa), hanya orang yang PRO sahaja mampu memahaminya".

Ketahuilah, ilmu itu umpama air. Hanya bertakung di tempat yang 'merendah'.



Penutup:

Kadang-kala, kita ini terlalu mengejar dan mencari sesuatu. Sehingga terlupa apa yang perlu. Kadang-kala kita ini aneh. Semua perkara ingin tahu. Padahal, ianya tidak penting dan tidak berfaedah untuk kita. Betapa banyak perkara yang kita tahu, tanpa kita sedar ianya sekadar 'bebanan'.


Menarik untuk kita telusuri nilai daripada kisah pembukaan kota Mekah dalam Surah Al-Nasr.

"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya. Sesungguhnya ia sangat-sangat menerima taubat".


Ramai antara kita, apabila menerima nikmat dan kejayaan, kita akan memuji Allah (Alhamdulillah). Namun, kenapa pula ayat ini menyuruh kita meminta ampun? Aneh bukan?

Cuba renungkan. Adakah dengan bertambahnya ilmu kita, bertambah juga keimanan? Atau ianya sekadar menambahkan 'keakuan'? Lihatlah kisah Firaun dan Qarun. Mereka dilaknat bukanlah kerana mereka berpangkat dan berharta. Tetapi, mereka dilaknat apabila mereka menafikan Allah sebagai Tuhan mereka. Mereka claim, harta yang mereka perolehi adalah atas usaha mereka sendiri.

Maka dianjurkan selepas solat untuk kita berzikir dan meminta ampun. Astaghfirullah dan memuji Allah (Zikir Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar).


Ketahuilah. Rosaknya dunia hari ini bukanlah disebabkan ianya ditadbir oleh orang yang tiada pelajaran. Sebaliknya, pemimpin hari ini kebanyakkan hebat-hebat belaka. Cuma kekurangan satu perkara. Iaitu, kurang rasa bertuhan, terlebih pula rasa 'keakuan'.


Actually, aku bersyukur. Walaupun tidak belajar perkara baru tahun ini, atleast aku tidak belajar sesuatu yang tidak bermanfaat. Dan, kita dianjurkan sentiasa berdoa dan meminta. Meminta ilmu, rezeki, amalan & usia yang berkat dan bermanfaat. Sebagaimana doa yang dianjurkan Nabi saw diawal pagi.



Akhir kata, semoga hari dan tahun mendatang, aku lebih 'dewasa' untuk menghadam pelajaran daripada universiti kehidupan. Semoga setiap urusan kita diberikan kemudahan dan diberikan keberkatan. Amin...




Yang Benar,
Fedli Isa (Slumb)
"Growing OLD is mandatory. Growing UP is optional".

No comments:

Post a Comment