Saturday, November 28, 2020

"Helah Dalam Permainan"

Penulisan kali ini, ingin aku kongsikan beberapa perkara mengenai "helah" dalam permainan. Ianya juga boleh dipelajari dalam dunia politik mahupun money game. Sebagai permulaan, tertarik untuk berkongsi sebuah analogi daripada buku "D.U.B.L.I.N":


"Bagaimana seekor tikus tinggal di dalam kotak. Kenapa dia tidak keluar jew? Tanya seseorang..

Dijawab: "Sebab dia (tikus) suka tinggal di dalam kotak itu. Dan, lebih penting lagi, dia TIDAK TAHU bahawa dia di dalam kotak".

Itulah analogi dan keadaan seseorang yang tidak sedar bahawa dirinya dalam sesuatu. Lebih buruk lagi, tidak sedar bahawa dirinya ditipu dan menipu.


Helah Dalam Permainan

Terdapat beberapa perkara yang aku tidak menyesal semasa universiti. Antaranya, join aktiviti yang tidak berakademik seperti politik kampus dan berpersatuan. 

Ya, CGPA akademik aku turun. Malah, pernah dinasihati oleh orang fakulti untuk dapatkan 1st class degree, tapi entahlah. Tetap jua aku dengan aktiviti tidak berakademik itu. Mungkin kerana jiwa masih muda. Namun, semakin berusia aku lebih yakin. Pengalaman daripada aktiviti tidak berakademik itulah antara yang banyak membantu dan mematangkan selepas bergraduasi.


Pertama kali aku mempelajari "helah" dalam permainan ini semasa terlibat dalam politik kampus. Pada waktu tersebut, kami mempunyai seorang penasihat. Beliau merupakan seorang pemikir dalam sebuah parti politik dan corak pemikirannya amatlah berlainan. Banyak perkara yang aku pelajari, antaranya :

1. Jangan cerita semua perkara kepada orang.

2. Banyakkan cerita perkara yang sedap didengar sahaja.

3. Jika nak beritahu perkara yang tak best, kongsikan yang tidak terlalu rahsia. Itupun, 1 - 2 perkara sahaja. 

4. Walaupun anda tahu cerita kawan anda 10% kurang benar, usah betulkan. Duduk diam dan sabar. Jika mahu juga betulkan, tunggu sehingga objektif tercapai. Contohnya, MENANG pilihanraya. Tapi kebiasaannya, orang yang sebarkan itu tidak akan betulkan. Kecualilah dikecam, barulah buat U-Turn. 

5. Ada pelbagai cara untuk menukar sesuatu yang kurang menarik menjadi menarik. Contohnya, jika anda ingin menarik pelaburan. Dimana, kadar pulangan adalah 2-3% dengan modal RM 100k. 

Maka, tekankan keuntungan adalah RM 3,000. Jangan gunakan peratusan!

 6. Ada pelbagai cara untuk mendapatkan sesuatu keputusan. Ada cara yang betul, ada juga cara yang salah. Begitu jugalah dalam dunia matematik dan perakaunan. Walaupun jawapan akhir anda betul, tapi caranya mungkin salah. 

Tapi, usah risau. Orang selalunya melihat "result". Jarang melihat prosesnya. 


7. Jaga penampilan.

Sekiranya anda ingin menarik undi golongan agamawan, berikan apa yang mereka mahu. Jaga penampilan seperti apa yang mereka sukakan. Jika mereka suka baju melayu dan kopiah putih, pakai sahaja. Jika mereka suka anda berhenti bercakap semasa azan, lakukan. Walaupun nampak kecil, besar dihati mereka yang memandang penampilan. 


8. Menarik kepercayaan. 

Ada orang, mereka hanya percaya terhadap perkara yang sudah TERBUKTI. Contohnya, pelaburan itu terbukti menguntungkan. Ubat ini terbukti berkesan. Dan banyak lagi. 

Maka, untuk orang ini, kita berikan bukti apa yang mereka mahukan. Jika mereka mahukan bukti wang depan mata, maka tunjukkan kepada mereka. Tunjukkan baki akaun bank anda yang berjuta-juta. Untuk menyakinkan mereka, anda bercakap berdasarkan bukti, duit masuk didepan mata. 

Ya, menarik kepercayaan ini memerlukan kos yang tersendiri. Ada kalanya kosnya adalah wang, ada kalanya dengan sebuah lakonan. Maka, mereka sanggup habiskn duit semata-mata nak tarik orang join. Contohnya, mereka sanggup bayar "komisen" pakai duit sendiri kepada anda. Mereka tak kesah, tahun pertama mereka rugi sebab duit keluar lebih banyak daripada duit masuk. Asalkan, semakin ramai orang join. Dan, Paling penting adalah orang-orang yang join ini PERCAYA mati-mati (ye la, duit betul2 masuk dlm acc bank).


9. Gunakan nama orang lain.

Jangan busukkan nama anda. Apa-apa aktiviti dalam permainan, gunakan fake akaun ataupun akaun orang lain. Ingat, jangan gunakan nama sendiri. Register semua perkara menggunakan nama proksi (orang lain). Ini TIP jika anda mahu hidup lama dalam dunia permainan ini. Biar kurang dikenali, asalkan perancangan anda menjadi. 

10. Ada banyak lagi. Cuma, cukuplah sekadar itu dulu.


Permainan: Masuk PERCUMA tanpa kos?

Masuk percuma jew abang. Trylah masuk dulu. Kalau nak main, barulah kena bayar (kata-kata promoter disebuah taman tema - lakonan).


Walaupun percuma tanpa bayaran. Kosnya tetap ada. Cuma, tidak kelihatan. Iaitu nama baik anda dan kepercayaan orang. 

Kita sebenarnya ada pengaruh terdapat orang sekeliling dan dibawah kita. Bezanya, kecil atau besar sahaja pengaruh kita. Ada kalanya, daripada pandangan kita itulah yang mempengaruhi keputusan pasangan, anak-anak dan saudara -mara. Walaupun tak banyak, tapi kesannya ada.


Umpama memberi pinjam wang. Apa kos peminjam. Takkanlah kosnya percuma? Fikirkan...

Kos pemberi pinjam ialah Wang. Manakala, kos peminjam adalah Kepercayaan. Sebab itulah bank sebelum memberi pinjam, mereka akan menilai dulu rekod kita menerusi CTOS, CCRISS dan segala maklumat yang ada.

Ya, ini soal kepercayaan. Sekali kena blacklist, jenuh la nak dapat balik kepercayaan. Susah!


Jika ditanya, apa yang aku fahami mengenai "money game"?

Jawapannya; Ianya adalah permainan. Buatlah apa sahaja. Ubahlah apa yang patut. Asalkan permainan terus dan terus berjalan. Jangan biarkan permainan terhenti kerana itu tandanya GAME OVER. Tapi, usahlah risau. Banyak lagi game yang boleh dimainkan.


Penutup:

Sering kita mendengar orang berkata; "Sebaik-baik orang, ada jahatnya. Dan, sejahat-jahat orang, juga ada baiknya". 

Maka, dapatlah kita membuat kesimpulan ringkas bahawa tiada manusia yang sempurna daripada kesilapan. Begitu juga diri ini. 

Jadi, macam mana? Nak ikut pendapat sapa? Orang baik yang kadang-kala ada jahatnya atau orang jahat yang kadang-kala baik?


Beginilah. Sekiranya anda mudah dipermainkan dan senang percaya, banyakkan berkawan dengan orang-orang baik. Elakkan berkawan dengan orang yang jahat, walaupun kadang-kala dia baik. Namun, perlu diingat bahawa orang baik tersebut juga ada kalanya membuat kesilapan. Maka, elakkan percaya bulat-bulat. 



Antara perkara yang aku suka ialah masih ada orang yang bertanya apabila mereka ada kemuskilan dan masalah. Itu tandanya, masih ada kepercayaan orang terhadap kita. Walaupun kecil, jagalah ia. Akhir kata, aku kongsikan kata-kata daripada pengalamanku dalam dunia politik kampus. Semoga ada manfaat untuk mereka yang memahami. 

"Belum tentu APA yang kita lihat (+baca/dengar/fikir) itu adalah yang SEBENAR.
Dan, belum tentu yang SEBENAR itu adalah yang BENAR".




Yang Benar,
Fedli Isa (Slumb)
Ketahuilah, wang boleh dicari. Kepercayaan sukar ditukar ganti. 

No comments:

Post a Comment