Sunday, May 8, 2022

5 kefahaman aku soal Rezeki

Ada orang cakap, kawin muda-muda, supaya rezeki bertambah. Ditambah lagi, buat anak ramai-ramai. Nanti rezeki akan bercambah-cambah.

Secara umum, aku bersetuju. Sebabnya, semasa kita masing single maka rezeki kita pun 'single'. Sebaliknya, apabila dah berkahwin dan mempunyai anak, sudah tentu rezeki kita pun melalui pelbagai cabang (pintu). Ada rezeki melalui anak, melalui isteri dan melalui kita. So, semakin banyaklah pintu rezeki. 

Cuma, masalahnya kadang-kala kita kurang faham. Ketahuilah, setiap sesuatu itu sebenarnya sudah tertulis dan mempunyai 'timeline' tersendiri. Umpama, ada yang kawin awal, ada yang kawin lewat. Ada yang dapat kerja hebat, ada yang dapat kerja balik lewat. Apa-apa pun, ketahuilah. "With great power comes great responsibility". Dimana, harta itu sebenarnya adalah amanah. Begitu juga kuasa. Untuk siapa? Untuk orang dibawah dan sekeliling kita. 



Untuk memudahkan penulisan, aku kongsikan kefahaman aku soal rezeki dalam point (number):

1. Rezeki sudah ditentukan sejak azali.

Aku lebih memilih pandangan bahawa rezeki kita sudah ditentukan sejak kita di dalam perut ibu lagi. Rezeki sudah tertulis. Dan, pandangan ini lebih tenang. Kerana, apabila kita percaya bahawa rezeki sudah ditentukan, takdelah kita nak kacau rezeki orang. 

Secara umum. Rezeki, jodoh, ajal sudah ditentukan dan tertulis sejak azali. Sebagai mahkluk, kita tiada kuasa untuk mengubahnya, kecuali Allah (Pencipta). Harus juga kita faham, apa maksud azali itu? Azali itu adalah masa. Sebagai makhluk, kita tertakluk kepada masa dan tempat. Sebaliknya, Allah tidak sebegitu. Kerana Allah Maha Mengetahui, Maha Berkuasa, dan tidak takluk pada masa dan tempat. Untuk bacaan lanjut mengenai ketetapan takdir, boleh baca website Mufti Wilayah ini. 

Jap, sekiranya rezeki kita sudah tertulis, untuk apa kita berusaha?

Ya, rezeki sudah tertulis. Cuma, adakah kita tahu apa yang tertulis itu? 
So, jika tak tahu, teruskan berusaha. Kerana kita tidak tahu, yang mana satu rezeki kita.

Bertanya seorang Guru; "Bukankah TAKDIR (ajal, jodoh, rezeki, & lain2) itu telah ditetapkan sejak Azali. Maka, untuk apa kita berusaha?..."


Maka, pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya, berdasarkan Quran, hadis, logik & sebagainya. Namun, seperti ada yang kurang daripada jawapan. Akhirnya, guru tersebut menjawab dengan sebuah jawapan yang tersangat ringkas & padat. Sehingga speechless takkala memahaminya....

Jawapnya: "Aku berusaha kerana AKU TIDAK MENGETAHUI". 
".... God knows, while you know not" [QS:2:216]



2. Sesuatu yang bukan rezeki kita, tetap bukan milik kita.


Sepanjang kehidupan, banyak perkara berlaku. Ada kalanya, diri kita terasa iri hati dengan orang lain terutama soal rezeki. Sehingga, kadang-kala muncul bisikan syaitan untuk menjatuhkan orang. Kacau rezeki orang dengan harapan rezekinya lari kepada kita. 

Aduh. Kita lupa ya. Rezeki kita sudah ditentukan. Jadi, kenapa harus kita iri hati dengan orang punya. Seharusnya, kita perlu bersyukur dengan apa yang kita miliki dan tenangkan diri dengan percaya rezeki sudah ditentukan. 

Tertarik dengan kisah semasa muda remaja. Ada beberapa kawan yang gatal tangan mencuri barangan kecil seperti helmet motosikal. Namun, kata-kata mereka daripada pengalaman amat menarik perhatian. Iaitu; "Kebiasannya, barangan hot (curi) ni, tak kekal lama. Mudah sangat rosak. Kadang-kadang, hilang". Umpama, sesuatu bukan milik kita, tidak akan kekal lama. Kejap jew lesap.


3. Apa yang ditakdirkan, akan kita dapat. Caranya...

Dalam dunia ini, umumnya ada 2 cara untuk mendapatkan sesuatu. Iaitu, cara baik dan cara jahat. Sekiranya sudah ditakdirkan kita akan menerima rezeki 1 juta, tetap kita akan menerima. Cumanya, mungkin caranya berbeza dan atas pilihan kita. Tertarik dengan ceramah youtube dibawah mengenai The Lost Pouch. Dimana, seorang lelaki yang kelaparan menjumpai sebungkus karung berisi barang bernilai, tetapi memulangkan semula kepada tuannya. 



Maka, terpulang kepada anda untuk menggunakan cara yang bagaimana. Mungkin cara untuk kaya secara haram itu nampak mudah dan cepat. Tapi, adakah ianya menenangkan? Percayalah kepada takdir rezeki, bersabarlah. Carilah melalui jalan yang halal. Kerana, sesuatu yang ditakdirkan untuk kita, tetap rezeki kita. Percaya!

4. Rezeki berkonsep tambah tolak.

Rezeki bukan setakat apa yang kita dapat (tambah). Tapi, apa yang ditolak (dihalang) juga. Contohnya, seperti terhalang daripada kemalangan jalan raya. Malah, mendapat jiran yang baik pun rezeki. Tup-tup, jiran sedekah makanan berbuka puasa. Sabda Nabi saw; “Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan: Isteri solehah, rumah luas, kejiranan baik, kenderaan selesa.” [Hadis Riwayat Ahmad]



5. Tambah keberkatan dalam rezeki.

Apabila berbicara soal rezeki, antara topik tambahan ialah soal keberkatan. Ketahuilah, sedikit yang berkat dan kamu syukuri itu adalah lebih baik daripada banyak tetapi tidak diberkati. 

Contohnya, usia. Ada orang umurnya panjang, namun tidak banyak sumbangan. Ada orang lain pula, umurnya lebih pendek, namun sumbangan dan namanya sering disebut-sebut. Umpama namanya hidup beratus tahun lamanya. 



Penutup:

Kadang-kala kita berkira dalam berkongsi. Takut-takut, apa yang kita kongsikan itu, orang lain yang dapat lebih manfaatnya berbanding kita. Sering juga kita terjebak dengan pemikiran 'probability' dalam sesuatu peluang yang bersifat terhad. Kemungkinan itu, kemungkinan ini. Sehinggakan, kita merasakan bahawa sekiranya sesuatu peluang itu diketahui ramai, semakin kecillah peluang yang kita akan perolehi. Akhirnya, kita memilih untuk menyorok berbanding berkongsi.

Sekiranya kita tanamkan dalam diri bahawa rezeki sudah ditetapkan, kita akan lebih suka berkongsi. Kerana kita tahu, Rezeki kita sudah ditentukan sejak di dalam perut ibu lagi.


Ya, ada lagi hujah dan pandangan lain soal rezeki. Namun, aku lebih suka menyakinkan diri bahawa rezeki sudah ditentukan. Bukan apa, atleast dapat mengubati hati yang iri. At same time, tak perlu kita bergaduh dengan orang soal rezeki mereka. Dah tertulis itu rezekinya.

Akhir kata, renungkanlah kata-kata ini:

"Orang miskin yang sebenarnya ialah mereka yang tidak bersyukur & tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimiliki". 

Seumpama Hadis Nabi SAW: “Apabila seorang anak adam mendapat sebuah lembah emas, ia menginginkan lembah yang ke-2 dan seterusnya. Sehinggalah, tanah menutupi dirinya (mati)".



Yang Benar,
Fedli Isa (Slumb)
Sedarlah, Dunia yang kita rebuti itu, Sudah ada pemilikNya"....

No comments:

Post a Comment